Raih keberkatan Ramadan dengan qiamullail



​​


Oleh : Hajah Siti Zuraihah Haji Awang Sulaiman / Foto : Alishahrin Haji Mumin





BANDAR SERI BEGAWAN, Khamis, 28 Mac. - Sedar tidak sedar, kita kini sudah berada pada minggu ketiga bulan Ramadan, dan dalam beberapa hari sahaja lagi, kita akan memasuki sepuluh malam terakhir bulan Ramadan, yang mana kita digalakkan untuk menghidupkan malam-malam tersebut dengan menggandakan amal ibadah.


Oleh itu, sebagai umat Islam, marilah kita mengambil peluang ini menguatkan azam untuk beramal ibadat dan gunakan dengan sebaik-baiknya saki baki hari-hari terakhir Ramadan dengan sebaik-baiknya agar tidak ketinggalan untuk mendapat manfaat berlipat ganda yang dijanjikan oleh Allah Subhanahu Wata'ala.


Pada 10 malam terakhir Ramadan, Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam akan memperbanyakkan amal ibadat melebihi daripada ibadat yang biasa dilakukan pada malam-malam yang lain.


Di antara malam bulan Ramadan itu terdapat satu malam yang istimewa yang mana ia lebih baik dan lebih utama daripada seribu bulan. Malam itu dipanggil dengan Lailatulqadar.


Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam menganjurkan supaya umatnya bersedia menyambut dan menghayati malam yang berkat itu dengan pelbagai amalan dan ibadah sebagaimana yang diterangkan dalam hadis Nabi Sallallahu Alaihi Wasallam yang diriwayatkan oleh Imam Al-Bukhari yang bermaksud : “Sesiapa yang berpuasa Ramadan dan 'qiam' dengan penuh keimanan mengharapkan ganjaran daripada Allah, diampuni dosanya yang lalu dan sesiapa yang melakukan 'qiam' pada malam Lailatulqadar adalah dengan penuh keimanan dan mengharapkan ganjaran daripada Allah, akan diampuni dosa mereka yang lalu".


Antara amalan yang sangat dituntut untuk dilaksanakan pada 10 malam terakhir Ramadan ialah qiamullail, satu amalan sunat yang bermaksud 'bangun malam' iaitu bangun dengan tujuan untuk beribadat kepada Allah Subhanahu Wata'ala, dengan harapan bertemu dengan malam Lailatulqadar.


Amalan ini boleh dilakukan secara bersendirian atau bersama ahli keluarga di rumah ataupun secara berjemaah sama ada di masjid atau surau.


Qiamullail boleh dilakukan selepas menunaikan Sembahyang Fardu Isyak tetapi waktu yang sebaik-baiknya ialah pada sepertiga akhir malam iaitu kira-kira pukul 3.00 pagi.


Antara amalan yang disunatkan semasa qiamullail ialah mengerjakan sembahyang-sembahyang sunat seperti Sembahyang Sunat Tahajud, Sunat Taubat, Sunat Tasbih, Sunat Hajat, Sunat Witir, membaca Al-Quran, berzikir dan beristighfar memohon ampun ke hadrat Allah Subhanahu Wata'ala.


Sebagaimana sabda Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah Radiallahuanhu, bahawa Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam bersabda : “Sesiapa yang berdiri (beribadat) pada malam Ramadan kerana iman dan mengharapkan ganjaran daripada Allah, diampunkan dosa-dosanya yang telah lalu". (Riwayat Imam Al-Bukhari).


Banyak manfaat dan fadilat yang akan dikurniakan kepada mereka yang melaksanakan amalan ini antaranya diangkat darjat dan dihapuskan dosa-dosa mereka. Mereka yang mengamalkannya juga sentiasa mendapat keredaan dan lindungan daripada Allah Subhanahu Wata'ala, selain melatih diri menjadi insan bertakwa, mendidik jiwa bersyukur dan meningkatkan keimanan.


Adapun, bangun pada waktu malam ketika orang lain sedang lena tidur bukanlah perkara yang mampu dilakukan oleh semua orang. Justeru, qiamullail adalah amalan paling istimewa bagi hamba Allah yang ingin benar-benar dekat dengan-Nya dan ingin mengharapkan keampunan serta keredaan-Nya.


Untuk itu, jangan kita sia-siakan peluang yang diberikan. Marilah kita mengisikan hari-hari terakhir ini dengan memperbanyakkan amal ibadah. Semoga amal ibadah kita pada bulan yang istimewa ini akan diterima oleh Allah Subhanahu Wata'ala jua.  


Close